Hari Wanita Antarabangsa : Ucapan Ketua Puteri UMNO Yang Berhormat Datuk Rosnah Abdul Rashid Shirlin


Pergerakan Puteri UMNO mengucapkan Selamat Hari Wanita Antarabangsa kepada semua wanita di Malaysia yang selama ini telah membuktikan peranan serta sumbangan mereka dalam pembangunan sebuah negara Malaysia yang sejahtera.

Tanpa wanita, negara tidak akan dapat membangun seperti sekarang ini lantaran sumbangan kaum Hawa dalam semua bidang baik politik, ekonomi, sosial mahupun agama sangat besar dan selayaknya mendapat pengiktirafan tinggi oleh semua pihak.

Pergerakan Puteri UMNO melihat kekuatan wanita berhadapan dengan pelbagai cabaran terutama wanita berkerjaya yang sangat bijak mengimbangi antara keperluan dan kebahagiaan rumah tangga dengan tuntutan di tempat kerja.

Pengorbanan wanita dalam konteks mencapai dunia yang aman juga bukan sedikit dan di peringkat domestik semakin ramai tokoh wanita berkaliber telah dapat membuktikan bahawa mereka mampu bersaing dengan kaum lelaki malah memberi sumbangan yang lebih baik.

Justeru Pergerakan Puteri UMNO mahu hari yang istimewa ini diraikan oleh semua wanita di Malaysia dengan cara membuktikan bahawa kaum wanita mampu berdiri sama tinggi dan duduk sama rendah dengan kaum lelaki malah dalam keadaan tertentu sumbangan wanita adalah lebih tinggi terutamanya dalam konteks memelihara kebahagiaan keluarga.

Kepada kaum wanita di seluruh negara, teruskan sumbangan anda biarpun sekecil mana sekalipun lantaran keluarga bahagia akan menjadi penentu pembangunan sesebuah negara dapat dilaksanakan dengan berkesan.

Begitu juga pembentukan masyarakat yang harmoni dan bebas daripada gejala sosial terletak di bahu wanita, oleh itu wanita-wanita semua pastikan kita sama-sama membantu kerajaan untuk menjadikan Malaysia sebuah negara maju yang mana institusi keluarganya terpelihara daripada sebarang unsur negatif.

Selamat Hari Wanita

Sekian, terima kasih.

No comments:

Post a Comment