Anggota Puteri UMNO Perlu Lebih Serius


ALOR SETAR – Anggota Pergerakan Puteri UMNO perlu lebih serius dan berusaha sepenuh hati dalam berjuang untuk memperkasakan parti, kata Ketua Pergerakan itu, Datuk Rosnah Abdul Rashid Shirlin.

Beliau berkata, sekiranya individu memilih untuk berjuang dalam sayap UMNO itu, mereka perlu sanggup melakukan tugas-tugas politik dan tidak mengharap sebarang imbuhan atau berniat untuk meraih populariti.

“Ini bukannya joyride, jika mahu popular, itu di dunia lain bukan politik kerana perjuangan dalam politik menuntut setiap anggotanya bekerja keras untuk memartabatkan parti.

“Sayap Puteri merupakan platform bagi mereka yang ingin berjuang dalam politik dan kita nak jadikan perjuangan parti sebagai keutamaan bukannya merosakkan parti,” katanya kepada pemberita selepas majlis Pelancaran Projek Puteri Prihatin (3P) dan Pelancaran Gerak Kerja Pilihan raya bagi Zon Utara (Kedah, Perlis dan Pulau Pinang).

Katanya, walaupun gerak kerja telah berjalan, namun ia tidak memberi indikasi bahawa pilihan raya telah hampir, sebaliknya mahu persediaan dilaksanakan lebih awal dan Puteri bersedia menerima apa sahaja arahan daripada pucuk pimpinan tertinggi pada bila-bila masa.

“Pada Julai tahun lalu, kita sudah lancarkan bilik gerakan di peringkat nasional sebagai pemula untuk memperkasakan Puteri supaya mereka lebih bersedia sebab pemimpin Puteri terdiri daripada kalangan golongan muda antara 18 hingga 35 tahun,” kata Rosnah. – BERNAMA

1 comment:

  1. Kena ada kesedaran dan menimba lebih dalam berkaitan dengan sejarah kemerdekaan kita.

    ReplyDelete