Giatkan Usaha Pendaftaran Pengundi Muda




Semakin hari, semakin hampir kita kepada PRU13. Tidak dapat dinafikan bahawa PRU13 bakal memberi satu perubahan besar kepada Negara. Kini kita dapat lihat banyak usaha-usaha yang dijalankan oleh pihak Pemuda, Wanita dan Puteri UMNO bagi meraih sokongan rakyat kepada Barisan Nasional. Sokongan tersebut adalah amat penting buat kerajaan agar mandat pentadbiran Barisan Nasional dapat dikekalkan demi kepentingan masa depan rakyat Malaysia.

Faktor besar yang bakal membawa perubahan kepada negara adalah faktor pengundi daripada golongan muda. Golongan ini yang harus kita beri perhatian kerana jumlah golongan muda yang layak mengundi pada PRU13 adalah menghampiri 16 Juta orang. Mengikut statistik SPR, sehingga Mac 2011 terdapat lebih daripada 4 juta orang daripada golongan muda yang masih belum berdaftar untuk mengundi.

Barisan Puteri UMNO Pusat, Negeri, Bahagian harus mengambil peluang yang sedia ada ini bagi menggiatkan usaha untuk menarik golongan muda tersebut untuk mendaftar sebagai pengundi. Kini adalah masanya untuk Puteri UMNO dan Pemuda UMNO menganjurkan pelbagai program-program yang menarik, yang mampu meraih sokongan daripada golongan muda untuk terus bersama Kerajaan Barisan Nasional.



Kita tidak seharusnya leka. Pihak pembangkang kini sedang bertungkus lumus, turun menemui golongan muda ini bagi mendapatkan sokongan mereka. Pihak pembangkang sedar, hanya golongan ini yang boleh memberikan perubahan besar ketika pilihanraya nanti. Pihak PAS terutamanya, sedang sibuk memainkan isu sentimen agama Islam bagi menarik perhatian mereka, dan Pergerakan Puteri UMNO dan Pemuda UMNO haruslah menyedarkan golongan muda ini agar tidak terus terpengaruh dengan pihak pembangkang. Kita harus memberi kesedaran kepada mereka agar tidak bersikap emosional keterlaluan sehinggakan boleh dipengaruhi pihak pembangkang dengan mudah.


Kita harus beri mereka sedar, hidup ini bukan hanya untuk memperjuangkan peribadi Anwar Ibrahim ataupun Peribadi Nik Aziz sahaja. Dunia terbuka luas bagi mereka di luar sana. Mereka harus sedar akan kepentingan masa depan bukan sahaja mereka malah Agama, bangsa dan negara. Kesilapan dalam membuat keputusan bakal menentukan hala tuju golongan ini sama ada mereka akan tetap menikmati segala kemudahan yang disediakan Kerajaan ataupun kesenangan hari ini bakal digadaikan mereka hanya kerana faktor tindakan mengikut emosi yang dimainkan oleh pihak pembangkang.


Puteri UMNO dan Pemuda UMNO harus bijak dalam menggunakan kepopularitian sayap parti untuk meraih sokongan golongan muda. Giatkan usaha bagi menarik mereka untuk mendaftar sebagai pengundi. Jangan hanya tunggu dan lihat. Kita turun bersama-sama, mendekati mereka walapun terpaksa pergi dari rumah ke rumah bagi memastikan mereka menjalankan tanggungjawab mereka kepada negara.

No comments:

Post a Comment