Anwar Ibrahim Dipanggil Untuk Membela Diri !


Hakim Datuk Mohd Zabidin Mohd Diah pagi ini telah mengarahkan Datuk Seri Anwar Ibrahim untuk membela diri di atas tuduhan meliwat bekas pembantunya, Mohd Saiful Bukhari Azlan.

Hakim membuat keputusan itu selepas mendapati pihak pendakwaan berjaya membuktikan kes prima facie. Hakim menegaskan saksi utama mempunyai kredibiliti termasuk bukti yang dikemukakan tidak meragukan.

Sebutan semula bagi pihak pembelaan ditetapkan pada 6 hingga 30 Jun depan.

Mahkamah mendapati Mohd Saiful adalah seorang saksi yang boleh dipercayai dan keterangannya selaras dengan saksi-saksi pakar bahawa terdapat penetrasi zakar dan mangsa berada di kondominium berkenaan semasa kejadian itu sebagaimana dinyatakan dalam tuduhan.

Pihak pendakwaan menyimpulkan kes mereka pada 24 Mac, dengan 26 saksi memberi keterangan di perbicaraan yang bermula 3 Februari tahun lalu. Mohd Saiful, 25, saksi utama pendakwaan yang memberi keterangan pada hari pertama perbicaraan memberitahu mahkamah mengenai kejadian yang didakwa itu.

Butir-butir kejadian didengar secara tertutup walaupun beliau memberi keterangan di mahkamah terbuka mengenai persekitaran yang mendorong beliau membuat laporan polis terhadap Anwar.

Tuduhan itu dikemukakan mengikut Sksyen 377B Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara hingga 20 tahun dan sebat.

Ini adalah tuduhan liwat kedua Anwar hadapi. Pada 2000, beliau dituduh meliwat pemandu kepada isterinya, Azizan Abu Bakar. Beliau disabitkan kesalahan dan dihukum penjara sembilan tahun oleh Mahkamah Tinggi, tetapi empat tahun kemudian Mahkamah Persekutuan membatalkan sabitan itu dan mengetepikan hukuman penjara.

No comments:

Post a Comment