Ketua Puteri UMNO : Buktikan Tuduhan Berniat Jahat !

KENYATAAN AKHBAR KETUA PERGERAKAN PUTERI UMNO, YB DATUK ROSNAH ABDUL RASHID SHIRLIN MENDESAK DATUK SERI ANWAR IBRAHIM MENJALANI UJIAN DNA

Pergerakan Puteri UMNO menyertai pelbagai pihak mendesak Datuk Seri Anwar Ibrahim menjalani ujian DNA dan memberikan sampel ujian tersebut kepada mahkamah bagi mengangkat keadilan yang selama ini didakwa oleh beliau tidak memihak kepadanya.

Jika Anwar benar-benar ikhlas dalam perjuangannya yang selama ini disifatkannya bertunjangkan `keadilan’, maka inilah masa serta peluang yang terbaik untuk beliau membuktikan bahawa beliau benar-benar tidak bersalah dan tuduhan liwat ke atas beliau sememangnya berniat jahat.

Sebagai seorang tokoh yang disegani dan dihormati oleh para pengikutnya (biarpun jumlah yang datang memberi sokongan sangat sedikit berbanding perbicaraan pertama), Anwar sepatutnya menyahut permohonan pihak pendakwaan kepada mahkamah supaya beliau memberikan sampel tersebut bagi tujuan ujian profil DNA.

Pergerakan Puteri UMNO yakin bahawa Anwar mahu membersihkan namanya daripada tuduhan liwat ke atas Saiful Bahari dan hanya dengan menyerahkan sampel DNAnya, nama baik serta imej beliau dapat dibersihkan terutamanya jika Anwar benar-benar yakin bahawa beliau tidak bersalah.

Agak pelik apabila Anwar berdiam diri berhubung desakan tersebut sedangkan barisan peguamnya yang hebat seolah-olah berasa bangga dan telah beroleh kemenangan apabila mahkamah menolak sehelai tuala kecil Good Morning, sebatang berus gigi dan satu botol minuman plastik yang diambil dari lokap Bahagian Siasatan Jenayah Berat IPK Kuala Lumpur sebagai bukti kerana kesemua barangan itu diambil bagi tujuan mendapatkan profil DNA diperoleh dengan cara yang tidak sah.

Sindrom berdiam diri berhubung desakan tersebut mesti diperjelaskan kerana ia memberi gambaran bahawa Anwar bukan sahaja tidak mahu memberikan kerjasama bagi melancarkan perjalanan kes liwat beliau, malah beliau adalah seorang pengecut dan tidak berani berhadapan dengan kebenaran sedangkan beliau sepatutnya bertindak `berani kerana benar’ dan bukannya, `takut kerana salah’.

Sekian, terima kasih

YB DATUK ROSNAH ABDUL RASHID SHIRLIN

KETUA PERGERAKAN PUTERI UMNO MALAYSIA

No comments:

Post a Comment