Ketua Puteri UMNO : Tolak Kepimpinan Pembangkang


KUALA LUMPUR, 17 Mac - Ketua Puteri UMNO Datuk Rosnah Abd Rashid Shirlin menasihatkan pengundi di Sarawak dan Sabah agar menolak kepimpinan pakatan pembangkang yang jelas tidak lagi relevan dan konsisten. "Buktinya jelas, apa yang berlaku di Semenanjung (pilihan raya kecil) adalah contoh dan signal yang begitu jelas bahawa mereka ini ditolak, bukan disebabkan orang lain, tapi pakatan itu sendiri," katanya kepada pemberita selepas menghadiri pelancaran program Futsal Wanita Terbuka 1Malaysia oleh Setiausaha Agung UMNO, Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor di sini, Khamis.

Beliau berkata parti komponen di dalam pakatan pembangkang mempunyai objektif berbeza antara satu sama lain dan hanya akan menimbulkan masalah apabila memimpin kelak. Rosnah yang juta timbalan menteri kesihatan memberikan contoh objektif PAS adalah untuk menubuhkan negara Islam, Parti Keadilan Rakyat (PKR) untuk menyelamatkan penasihatnya Datuk Seri Anwar Ibrahim dan DAP pula menubuhkan negara mengikut acuan parti itu sendiri. Komponen pakatan pembangkang umpama 'tidur sebantal, mimpi lain-lain', katanya. Rosnah juga berkata Puteri Umno sedang berusaha menambahkan keahlian pergerakan itu melalui pelbagai program yang diadakan. -- BERNAMA

No comments:

Post a Comment